"MESYUARAT AGUNG PIBG PADA 31 MAC 2012 (SABTU) JAM 8.00 PAGI. SEMUA WARIS PELAJAR DIJEMPUT HADIR"

Sunday, January 23, 2011

Misi 2: Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif

Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran guru semestinya membuat perancangan dengan teliti berdasarkan perkembangan dan minat pelajar. Guru juga mesti bersiap sedia menghadapi kerenah dan tingkah laku pelajar dalam kelas. Mempellbagaikan teknik pengajaran dan aktiviti dalam kelas boleh menarik minat dan perhatian pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Kejayaan guru mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dapat mengatasi masalah disiplin pelajar dalam kelas serta kejadian ponteng kelas.

Saturday, January 15, 2011

Misi 1: Melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang

Usaha mengukuhkan disiplin pelajar sekolah ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berkelakuan baik, bermoral ataupun berbudi pekerti. Oleh itu Misi Pertama sekolah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu:
1. Melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi dan,
2. Melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai bidang.
Oleh itu fokus disiplin dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum bergerak seiring bagi merealisasikan visi sekolah. Tidak timbul isu pihak sekolah terlalu memberi penekanan kepada aspek disiplin pelajar dan sebaliknya mengabaikan aspek akademik. Kegagalan pihak sekolah mengukuhkan disiplin pelajar sekolah ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah lain sama ada dalam sekolah mahupun di luar sekolah. 
Disiplin adalah satu bentuk kawalan sosial bagi mewujudkan suasana yang tenteram dan teratur baik dalam komuniti luar mahupun dalam sekolah. Anggota masyarakat perlu memahami bahawa pelajar yang berjaya dalam pelajaran adalah pelajar yang berakhlak.
Oleh itu usaha memantapkan disiplin pelajar sekolah ini akan menjadi lebih berkesan jika mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak; pelajar, guru, ibu bapa serta anggota masyarakat. Dengan akhlak pelajar yang baik, kejayaan seterusnya untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum akan dapat direalisasikan oleh pihak sekolah.

Tuesday, January 11, 2011

Orentasi Pelajar Tingkatan Empat 2011

Orentasi Pelajar Tingkatan 4 2011 bermula pada 11/1/2011 hingga 14/1/2011 di Dewan Saujana SMK Teluk Kumbar II. Antara objektif program ini ialah:
  • Memahami dan mengetahui tentang mata pelajaran teras dan elektif.
  • Memahami secara umum tentang mata pelajaran yang diajar, sukatan pelajaran, pembahagian soalan peperiksaan dan pemarkahan, kaedah pengajaran, syarat lulus/gred dan kepentingan subjek.
  • Mengetahui bidang kerjaya yang sesuai dengan mata pelajaran yang dipelajari.
Hari pertama program, pengetua sekolah telah memberi perangsang dan ingatan kepada semua pelajar mengenai usaha pihak sekolah untuk melonjak pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Bagi mencapai hasrat itu, pelajar diingatkan mesti  berakhlak yang tinggi iaitu berdisiplin di sekolah dan juga semasa di luar sekolah. Kejayaan akan dicapai sekiranya pelajar dapat melakukan apa yang terbaik untuk dirinya. Bukan faktor sekolah jadi sebab pelajar tidak boleh maju kerana di sekolah luar bandar ramai juga pelajar yang boleh cemerlang. Yang penting ada keinginan setiap diri pelajar untuk berubah dan berjaya.



Saturday, January 8, 2011

ADA PERUBAHAN POSITIF DALAM TEMPOH LIMA HARI PERSEKOLAHAN!

Selepas lima hari persekolahan, ada perubahan positif. Suasana sekolah tidak lagi begitu bising, pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun masih terdapat pelajar yang 'mencuri' keluar kelas sebaik guru meninggalkan kelas. Pelajar mesti mendapat kebenaran guru dan PAS KELUAR KELAS sebagai bukti pelajar keluar kelas dengan kebenaran guru.
Dari pemerhatian sepanjang hari minggu lalu, ada beberapa kumpulan pelajar yang suka berkumpul di halaman rumah kampung tertentu pada awal pagi. Mereka akan bergerak secara berkumpulan dan mulai bergerak memasuki kawasan sekolah setelah loceng berbunyi. Teguran telah pun diberikan kepada kumpulan-kumpulan pelajar ini, mudah-mudahan hari-hari persekolahan berikutnya tidak akan ada lagi kumpulan-kumpulan pelajar seperti ini.
Keseluruhannya disiplin pelajar sekolah ini bertambah baik. Tapi masih boleh ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih baik. Untuk minggu kedua persekolahan, tidak seorang pun pelajar dibenarkan menyimpan rambut berfesyen. Tindakan tegas akan diambil oleh Pengetua dan Guru Disiplin terhadap pelajar-pelajar yang masih engkar arahan. Pengetua telah memberi peluang selama seminggu kepada pelajar-pelajar untuk mengemaskan rambut masing-masing selari dengan peraturan-peraturan sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pengetua.

Tuesday, January 4, 2011

PIHAK SEKOLAH MEMERLUKAN SOKONGAN IBU BAPA, PEMIMPIN TEMPATAN DAN NGOs

Semua ibu bapa dan pemimpin masyarakat sekitar sekolah diminta memberi sokongan kepada pihak sekolah untuk melahirkan pelajar SMKTK2 yang bertanggungjawab dan lebih berdisiplin. Beberapa langkah telah diambil oleh pihak sekolah, iaitu:
  1. Bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan NGOs menangani masalah pelajar ponteng sekolah.
  2. Meningkatkan tahap disiplin diri pelajar termasuklah:
    • Mengurangkan kes ponteng kelas dan ponteng sekolah.
    • Tidak membenarkan rambut berfesyen.
    • Cara berpakaian sekolah dan pasukan beruniform.
  3. Memperketatkan kebenaran pelajar keluar kelas untuk tujuan ke tandas/bilik guru/koperasi dan pejabat sekolah.
  4. Guru akan mengutamakan P & P dan sebarang aktiviti sekolah bukan akademik tidak akan mengganggu waktu pengajaran dalam kelas.
  5. Ibu bapa akan dihubungi oleh Pengetua/PK HEM/Guru Kaunseling/Guru Disiplin bagi kes pelajar yang bermasalah.
  6. Pandangan/cadangan daripada ibu bapa/pemimpin masyarakat/NGOs amat dialu-alukan untuk meningkatkan lagi tahap disiplin dan akhlak pelajar sekolah ini.
Dengan mengatasi masalah disiplin pelajar, fokus kepada pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya dapat diberikan oleh pihak sekolah bagi melonjakkan pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan juga kokurikulum.

Ibu bapa yang ada kemusykilan dengan pihak sekolah, diminta datang ke sekolah atau menghubungi pengetua sekolah sendiri sama ada melalui telefon atau emel. (HP No: 012-5387423, Emel: smktkdua@gmail.com).

Pengetua
SMK Teluk Kumbar II
Pulau Pinang.

Monday, January 3, 2011

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN

Hari pertama persekolahan sudah bermula dengan baik. Ramai juga pelajar yang 'terlupa' waktu awal persekolahan. Dalam perhimpunan pagi pengetua memperingatkan pelajar supaya meningkatkan tahap disiplin pelajar sekolah ini. Pengetua mengingatkan serta 'merayu' kepada semua pelajar supaya mematuhi peraturan sekolah. Dalam pemerhatian selama ini, seolah-olah menjadi satu budaya rambut pelajar berfesyen dan baju dilepas keluar.
Pengetua memberi masa satu minggu untuk pelajar-pelajar yang masih engkar arahan untuk cuba menyesuaikan diri supaya imej tahap disiplin pelajar sekolah ini dapat ditingkatkan lagi dari masa ke semasa. Guru-guru dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membenarkan pelajar meninggalkkan kelas kerana pengajaran dan pembelajaran mesti didahulukan. Pelajar yang keluar kelas tanpa 'Pas Keluar Kelas' adalah dianggap telah melanggar peraturan sekolah. Bagi merealisasikan visi sekolah ini, pengetua berharap setiap warga sekolah termasuklah pelajar, guru dan juga kakitangan sekolah dapat memahami dan menghayati visi dan misi sekolah yang baru, lebih realistik dan spesifik. Ibubapa juga melalui perjumpaan dengan waris Tingkatan 1 pada 31 Disember 2010 di Dewan Saujana telah disarankan memberi sokongan dan kerjasama yang padu kepada pihak sekolah jika mahu melihat kejayaan anak mereka dalam pelbagai bidang di sekolah ini pada masa yang akan datang.